Coretan saya

Bismillah.


Sebuah Anugerah


Sudah semestinya saya amat-amat bersyukur. Sepanjang saya membesar, saya dilingkungkan dalam suasana pembinaan. Umur dua tahun hingga lapan tahun menikmati tarbiyyatulaulad di perantauan. Setiap masa dinasihati oleh umi dan abah. Umi suka bercerita kisah-kisah anbia' pada saya dan abah pula selalu inspirasikan saya untuk hidup dengan Islam.


Maka fahamlah saya tentang Islam. Dan mudahlah saya untuk mengamati syari'atnya.


Setelah pulangnya kami sekeluarga ke tanah air, saya masih dalam lingkungan tarbawi. Dalam proses memahami dan mencari identiti diri saya, saya melihat dan menempuh serangan jahiliyyah dengan mujahadah, namun masih dalam lingkungan indah, yakni tarbiyyah .


Tuntasnya, dapat saya katakan;


Ja'a mutarabbi


Saya hadir sebagai orang yang ditarbiyyah .


Tidaklah saya ingin menunjuk-nunjuk, saya sekadar menghayati nikmat tarbiyyah yang disusun oleh-Nya sedari saya kecil sehingga kini saya berumur hujung belasan tahun.


Saya sedar ianya nikmat teristimewa. Diri saya, adalah hasil pembinaan sembilan belas tahun lamanya. Allahuakbar!



Amanah


Beriringan dengan tarbiyyah, saya tak dapat elak daripada menyemai azam untuk menyentuh masyarakat sekeliling pula dengan nilai-nilai Islam. Agar maratib amal itu terus terlaksana sebagai cara untuk meneruskan survival Islam sehingga sampai ke peringkat kepimpinan alam.


Semakin saya memikirkan, semakin saya tertunduk. Menyedari kerdilnya pulangan saya untuk survival Islam. Menyedari masa-masa yang dibazirkan bukan atas tujuan pembinaan dan pembaikan.


Lalu, saya terus membenarkan diri saya dalam sistem tarbiyyah ini yang sifatnya tidak menafikan potensi pada diri manusia yakni potensi manusia untuk menyebarkan dan mempertahankan kefahaman Islam yang telah dibenihkan dalam dirinya. Orang yang ditarbiyyah sifatnya akan mentarbiyyah pula.



Dua kondisi berbeza


Dalam era pelatihan dan pembinaan dan dikelilingi kawan-kawan yang dibangunkan dengan suasana yang serupa, mudah untuk saya berbahasa. Saya memahami dan difahami, dengan cepatnya. (saya amat menghargai suasana itu)


Kondisinya berbeza, bila berhadapan dengan rantaian amal yang selalu dibahas-bahaskan dalam era pelatihan. Menghadapi medan amal (dengan dakwah yang berjaya) sudah semestinya amat berbeza dengan hanya melakarkan teori kata demi kata.


Bukan sedikit yang harus diulang-kaji. Bukan sedikit ujian yang menimpa.


Pernah sesekali orang musykil bertanya pada saya,"..di tengah-tengah keburukan akhlak dan pemikiran masyarakat, apa yang menguatkan?"


Saya memandang ke dalam diri sejenak, apa yang ada itulah yang dikongsi.


Bukan sehari dua untuk saya ambil masa menyesuaikan diri dengan kaedah masyarakat kita. Bukan senang mengharungi saat-saat kejanggalan pada musim awal. Perbezaan akhlak umpamanya, kalau tak diurus dengan baik akan mencacatkan misi dan agenda tarbiyyah yang dihajatkan. Perbezaan fokus dan cara hidup, pakaian dan pergaulan. Mudah kata, sembilan belas tahun yang lalu untuk saya berbeza dengan sembilan belas tahun yang lalu untuk masyarakat luar circle.


Selain untuk menangani perbezaan, perlu juga ulang-kaji untuk menangani ikhtilat, cross values dan gaya fikir terhadap ilmu dan kehidupan.


Kerana meskipun Islam hakikatnya merentasi sempadan ekonomi, sukan, kepimpinan, kemajuan dan teknologi, ianya masih tersimpan dan terselindung. Cabaran sebenar bila di medan adalah bagaimana pada hakikatnya nak diterangkan dan diterapkan semua ini pada masyarakat di luar linkungan kita. Yang sebelum ini tak pernah terfikir akan keindahan islam sebegitu rupa. Sungguh, ianya bukan tugas yang mudah semudah melafaz janji untuk menunaikan.


Bumi mana yang tak dibasahi hujan. Lautan mana yang tak bergelora.Tipulah saya jika tak menghadapi saat-saat jatuh atau putus-asa. Namun, kehidupan tarbiyyah telah mengajar erti bangun dan berlari. Orang mukmin itu tidak mudah kalah pada kondisi.



Posisi adalah rancangan-Nya


Mudah kata , abah memang meletakkan hasrat pada saya untuk saya mulakan anasir taghyir di Uniten , tempat saya belajar sekarang. Kata abah , jika orang lain berbangga dengan anak mereka yang berjaya menjadi entrepreneur, abah mahu berbangga dengan anak abah yang menjadi da'ie yang berjaya. Abah membakar azam saya.


Sebulan lamanya saya didik diri untuk menturuti kemahuan abah (bukan suruhan ya tapi kemahuan, abah tak pernah paksa saya). Saya ada hajat ingin menghafaz 30 juzu' Qur'an, tapi saya kemudiankan. Apa yang saya cari, adalah barakah bukan sekadar memenuhi rasa. Dan akhirnya, saya sendiri mahu memulakan agenda tarbiyyah di Uniten.


Apa pun sebenarnya yang menjadi sebab-sebab di mana kita berada sekarang, letakkanlah kepercayaan bahawa segala yang sedang berlaku adalah susunan Dia. Seindah manapun kita merencana, yang telah dahulu merencana adalah Allah. Dan sesungguhnya yang paling indah adalah bila dapat melangkah bersama-Nya.


Apa pun keadaannya yang dilalui sekarang, sentiasa tambatkan hati pada Pencipta. Ini nilai utama sebelum perkara yang lain. Kerana jika sungguhpun dikelilingi bi'ah yang baik, tapi hati kendur dari mengingat-Nya, ia tak membawa makna pada dakwah dan tarbiyyah.



Mengolah ujian menjadi nilai daya juang


Sejujurnya , juraian air mata suatu ketika dahulu di kem plkn kini sangat-sangat saya rindui. Segala yang ditempuh memberi nilai karakter dalam diri.


Masih terbayang , hari pertama mendaftar di Uniten. Saya bersama-sama umi dan abah yang cukup memberi ransangan dan sokongan. Beberapa minit setelah itu, ummi abah beransur pergi. Saya melangkah seorang.


Saya selalu berteka-teki, manusia semacam apa lagi akan saya jumpa nanti. Kepada siapa akan Allah temukan saya.


Saya memang suka dengan doa Rasulullh ketika berlindung daripada balingan batu di Taif. Ianya penuh makna.


"Ya Allah, kepada-Mu aku mengadukan kelemahanku, ketidakberdayaanku, dan penghinaan yang kuterima dari manusia. Wahai Engkau yang lebih pengasih dari semua yang pengasih. Kepada siapa Engkau serahkan aku? Kepada orang asing yang menyambutku dengan wajah masam atau kepada musuh yang akan menguasaiku? Selama Engkau tidak murka kepadaku, aku pun tidak peduli. Perlindungan-Mu sungguh lebih luas bagiku. Aku berlindung kepada cahaya wajah-Mu yang menyinari segala kegelapan, yang membuat baik segala urusan. Tiada daya dan upaya melainkan dari-Mu semata"


Alhamdulillah , setiap manusia yang saya jumpa telah memberi kesan pada hidup saya. (Setakat ni, belum pernah saya dibaling batu). Bila saya menekuni mereka, mereka sesungguhnya mencari-cari atau tercari-cari penjelasan. Maka saya katakan pada diri, jelaskanlah, dakwahilah ! bekerjalah semahunya !


Ya, memang saya pernah jatuh tersungkur, tapi di saat itulah Allah membuka ruang untuk bangun semula. Sebaik-baik kesilapan adalah dengan bertaubat.


Olahlah ujian yang mendatang menjadi nilai daya juang yang tinggi. Biarlah diri diuji dengan hal-hal dakwah sesungguhnya ianya manis dirasa. Jangan diuji dengan dodoian dunia ianya sungguh tipu muslihat dunia.


Letakkanlah kepercayaan yang tinggi bahawa usaha dakwah yang berkat akan disertai tentera malaikat. Dan keberkatan itu hasil kedekatan sang da'ie dengan Dia yang Maha Kuasa. InsyaAllah, dakwah akan berjaya.



Resolusi Dakwah Yang Berjaya


Sementara menunggu kemasukan semula ke Uniten untuk menyambung Degree, saya lakarkan satu resolusi peribadi di papan dakwah saya, sungguh ia bukan formula kejayaan yang telah berhasil, tapi saya gunakan ia selama setahun selama berada di medan ini. Harap-harap bermanfaat !


Resolusi satu : Tahajjud Jaga


Resolusi dua : ISK bedah


Resolusi tiga : 30 juzu' Hafazan Qur'an mula ..


Resolusi empat : Muhasabah



Tuntasnya pastikan setiap sela masa yang dilalui sekarang sangat-sangat berkualiti. Harungi cepat-cepat rasa 'terasing' tu. The time with dakwah, Enjoy it ! Belajar dari kesilapan dan tempuhilah sebanyak-banyaknya pengalaman. Bekerja dan beramal dengan rasa senang hati dan berfikiran jauh kedepan. Sehingga janji Allah telah tiba masa dan ketikanya. Sehingga bila kita habiskan nafas dengan mulut yang masih mengajak manusia kepada Allah. Bergeraklah bekerjalah semahunya !



Saya melazimkan tulisan ini untuk penyedaran diri sendiri, penyegaran diri sendiri, peringatan diri sendiri dan kemudian sebagai perkongsian dengan pembaca yang lain. Dan saya mendedikasikan tulisan ini untuk ukhti Liyana Zakaria, ukhti Solihah Muzahar dan ukhti Khalilah Huda Kamilen. Mereka merupakan peribadi thabat yang berjiwa khubaib di tengah-tengah kezaliman akhir zaman. ^_^


Izyana Hariffin

Bilik

5:40 ptg

10 Ogos 2011




1 comment: